Wednesday, 11 September 2013

Kesilapan lumrah dalam perniagaan

KEJAYAAN dalam perniagaan atau pekerjaan adalah 50:50 antara usaha yang baik dengan mengelak dari membuat kesilapan. Berikut adalah kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh usahawan, pemilik perniagaan atau perkerja pejabat sekalipun. Berusahalah untuk mengelakkan dari melakukan kesilapan-kesilapan ini demi kejayaan anda.




1. Terlalu memberatkan sesuatu ide

Kadang-kadang kita mendapat satu akal yang kita rasa sangat bagus. Kemudian kita menjadi taksub dengan cetusan ilham tersebut, seolah-olah tidak ada pilihan lain lagi. Ingatlah, ide yang bagus tak semestinya sesuai. Pelbagaikan ide dan penyelesaian untuk sesuatu masalah. Teruskan berfikir -- selalunya ide ketiga atau keempat yang datang selepas itu adalah lebih bagus lagi!


2. Tak ada perancangan perniagaan

Perniagaan adalah umpama perjalanan seribu langkah yang bermula dari langkah pertama. Dan langkah pertama yang tepat ialah membuat pelan perniagaan. Pelan ini boleh memberikan anda pandangan yang lebih jelas tentang apa yang diperlukan dalam perniagaan. Kebanyakan orang memulakan perniagaan "ikut rasa" -- ini ibarat si buta yang meraba dalam gelap. Pelan perniagaan akan memberikan anda peta panduan untuk halatuju perniagaan baru anda itu.


3. Tidak mengenali pelanggan anda

Siapa pelanggan anda? Kalau diminta menceritakan tentang pelanggan anda seolah-olah dia seseorang yang tertentu, bolehkah anda terangkan dengan cepat dan jelas tentang sifatnya, rupa wajahnya dan tabiatnya? Citarasa serta corak perbelanjaan pelanggan akan mempengaruhi perniagaan anda, dari segi barangan dan perkhidmatan yang perlu disediakan.


4. Tidak ambil tahu tentang perniagaan

Ini kesilapan yang lazim dibuat oleh mereka yang memulakan sesuatu perniagaan atau kerja disebabkan minat. Selalunya mereka tidak mahu ambil tahu tentang soal lain berkenaan perniagaan, seperti kewangan dan pengambilan pekerja. Membiarkan orang lain menangani aspek-aspek yang kurang penting ini adalah suatu kesilapan, kerana sebagai usahawan dan pemilik perniagaan -- terutamanya kalau anda mempunyai rakan kongsi -- anda perlu tahu kedudukan perniagaan anda secara menyeluruh setiap masa.


5. Tidak peduli tentang kakitangan

Kualiti perniagaan anda secara langsung bergantung kepada kualiti pekerja anda. Jadi perkara pertama yang perlu dititikberatkan ialah pengambilan pekerja yang tepat. Selepas itu, pekerja perlu dipantau dan diberikan sokongan supaya membuat kerja yang terbaik. Cabaran kepada usahawan dan peniaga baru ialah dalam memberikan motivasi, bimbingan dan mengurus pekerja. Seringkali, jalan penyelesaiannya ialah kesabaran dan komunikasi dengan pekerja!


6. Keliru antara "kemungkinan" dengan "realiti"

Semua usahawan berjaya berteraskan kepada prinsip menukarkan kemungkinan menjadi sesuatu yang nyata. Usahawan yang berjaya mampu menjadikan sesuatu ide itu hidup dan mendatangkan keuntungan. Namun perlu berhati-hati supaya kita tidak terlalu dibuai mimpi sehingga lupa realiti.

7. Tiada pelan pemasaran atau penjualan

Berkait dengan pelan perniagaan, pelan pemasaran dan penjualan yang khusus juga penting kerana dua sebab. Pertama, mengenalpasti pelanggan serta pasaran terlebih dahulu akan memudahkan kerja menjual barangan disamping menjimatkan kos. Kedua, pelan ini memberikan anda cara untuk mengukur kemajuan serta perkembangan perniagaan anda. Anda memerlukan pelan yang realistik untuk melihat dari mana, bagaimana, bila dan siapa yang membawa masuk jualan.


8. Membuat semua kerja sendiri

Mungkin anda seorang yang tahu segala-galanya, tapi ini tidak bermakna hanya anda seorang saja yang tahu bagaimana hendak membuat sesuatu kerja! Demi perkembangan perniagaan, anda perlu memberi ruang kepada pekerja lain untuk turut sama membantu. Agihkan tanggungjawab kepada pekerja lain supaya anda mempunyai lebih masa untuk ditumpukan kepada perkara-perkara yang lebih penting.


9. Tidak ada lembaga pengarah

Mungkin ini sesuatu yang tidak masuk akal kepada peniaga kecil. Tetapi hakikatnya, anda perlukan lembaga penasihat atau seorang mentor! Semua perniagaan memerlukan seseorang yang boleh memberikan pandangan secara objektif. 'Lembaga penasihat' ini mungkin terdiri daripada anggota keluarga atau rakan-rakan yang boleh dipercayai. Jadikan mereka ahli lembaga pengarah samada secara rasmi atau tidak, dan gunakanlah mereka untuk menguji apa-apa buah fikiran atau bila menghadapi sebarang masalah.


10. Mudah berputus asa

Berniaga adalah umpama belayar di lautan -- sekali-sekala tenang, tetapi kerap akan bergelora. Ingatlah, kebanyakan usahawan yang berjaya pernah mengalami kegagalan. Malah, kegagalan itu menjadikan mereka lebih kuat berazam untuk berjaya. Belajarlah untuk menerima sebarang kegagalan sebagai tidak lebih daripada suatu pengajaran dan anak tangga ke arah kejayaan.



**Artikel ini disusun oleh Hazwani Ramli dan diterbitkan dalam majalah Rezeki keluaran Februari 2011.

No comments:

Post a Comment