Tanpa mengira bidang yang diceburi, semua usahawan mempunyai sifat yang sama. Adakah anda juga memiliki sifat-sifat berikut? Kalau jawapannya ya, mungkin anda patut membuka perniagaan sendiri!
1. Sentiasa mengejar kejayaan
Anda dianggap oleh kenalan rapat sebagai seorang yang sangat kompetitif dan sentiasa mahu menang. Inilah sifat seorang usahawan yang sejati -- sentiasa mengejar kejayaan dan tak pernah mengalah.
2. Cabaran bukanlah masalah
Seorang usahawan sejati tak pernah melihat apa-apa rintangan sebagai suatu masalah. Malah, baginya semua masalah adalah sesuatu yang boleh diubah menjadi kemungkinan untuk kejayaan!
3. Mahu menjadi burung
Ini juga adalah ciri yang membezakan seseorang usahawan daripada seorang pekerja biasa. Semua usahawan membuka perniagaan sendiri kerana mereka ingin bebas untuk menentukan halatuju hidup masing-masing. Malah, kadangkala kebebasan itu lebih berharga daripada wang ringgit!
4. Percaya kejayaan adalah hakmiliknya
Sesetengah orang merasakan untung-nasib adalah sesuatu yang hanya ditakdirkan. Seseorang usahawan sejati pula merasakan takdir adalah apa yang mereka sendiri usahakan. Mereka sentiasa berfikiran positif dan percaya usaha gigih akan dibalas dengan kejayaan.
5. Menjauhi yang negatif
Usahawan berjaya akan berusaha untuk menjauhkan pemikirannya dari sebarang pengaruh negatif. Ini termasuklah dari segi pergaulan atau persekitaran.
6. Keupayaan mejadikan impian suatu kenyataan
Ramai orang mempunyai ide. Ini tidak bermakna mereka sesuai menjadi seorang usahawan dan membuka perniagaan sendiri. Seorang usahawan tulen adalah seorang yang sanggup bekerja keras untuk menjadikan idenya itu suatu yang nyata, bukan setakat bercakap saja.
7. Ide adalah umpama ikan dalam kolam
Kepada seorang usahawan sejati ide-ide sentiasa saja berenang-renang dalam benaknya. Tak kira di mana dia berada, otaknya sentiasa berjalan.
8. Saya boleh!
Ini adalah antara ciri yang paling penting untuk dimiliki oleh seseorang usahawan. Dunia perniagaan adalah suatu persekitaran yang penuh dengan ranjau duri yang akan menguji tahap kesabaran dan keyakinan diri. Semua orang akan mengalami masa di mana mereka akan berasa kecewa, tapi seorang usahawan akan segera melantun semula dari apa saja kesilapan kerana mereka yakin dengan keupayaan diri sendiri.
9. Peka kepada peluang
Usahawan sejati tak pernah tidur atau bercuti. Derianya sentiasa peka pada apa saja yang boleh dijadikan suatu peluang untuk menjayakan perniagaannya. Tak kiralah kalau peluang itu datang dalam bentuk seseorang yang ditemuinya dalam lif, atau barang lapuk yang tak diendahkan oleh orang lain sekalipun!
10. Menerima tanggungjawab
Seseorang usahawan tidak akan lari dari tanggungjawab. Dia akan membuat keputusan setelah menimbang risikonya, kemudian menerima apa-apa akibat dari keputusan tersebut.
11. Tak pernah puas hati
Apa saja kejayaan boleh diperbaiki lagi. Inilah pemikiran seorang usahawan: sentiasa saja mencari jalan untuk memperbaiki diri dan perniagaannya. Sebab itulah dia tak boleh duduk diam!
12. Mengambil risiko terancang
Seseorang yang suka mengambil risiko secara membabi-buta bukanlah seorang usahawan yang sebenar. Seorang usahawan sejati faham semua perkara ada risiko tersendiri dan dia akan mengkaji setiap sudut sebelum mengambil jalan yang paling baik.
**Artikel ini disusun oleh Amri Rohayat dan diterbitkan dalam majalah Rezeki keluaran Februari 2011.
No comments:
Post a Comment